Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1431H/2010M

Mac 27, 2010 at 4:03 PM | Dikirim dalam Aktiviti Masjid | Tinggalkan komen

Masjid Al-Jawahir Dan Surau-Surau Mutiara Rini

Tempat:  Perkarangan Masjid Al-Jawahir Taman Mutiara Rini
Tarikh: 26-28 Mac 2010 ( Jumaat Hingga Ahad )
Persembahan nasyid malam Sabtu 27 Mac 2010

Persembahan Nasyid oleh Kumpulan Saujana

SATU MALAYSIA MEMERANGI MAKSIAT

Mac 10, 2010 at 10:19 PM | Dikirim dalam 1 | Tinggalkan komen

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“SATU MALAYSIA MEMERANGI MAKSIAT”

(19 FEBRUARI 2010 / 5 RABIUL AWWAL 1431H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah apabila berlaku pertembungan hukum Islam dengan hukum yang lain, mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah dan memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “SATU MALAYSIA MEMERANGI MAKSIAT”.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Pada 19 Februari 2010 pihak berkuasa mengadakan Hari Anti Dadah Kebangsaan sebagai peringatan bahawa dadah menjadi ancaman utama kesejahteraan masyarakat dan negara. Hakikatnya bukan dadah, penagih dan pengedarnya sahaja, malah gejala maksiat lain seperti ketagihan arak, ketagihan seks, bersyubhat melakukan kezaliman dan penipuan, tahi judi, jenayah rasuah, salah guna kuasa juga adalah sebahagian dosa besar yang menjadi musuh utama negara dan agama Islam. Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan maksiat dan perbuataan berdosa besar telah hilang kewarasaan akal kerana merosakan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahaan dalam masyarakat. Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah.

Kadangkala dengan hanya satu perbuatan maksiat sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi maksiat dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah.

Selari dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan kebimbangan kita terhadap perkembangan maksiat di negara ini setiap hari, maka amat wajar sekali mimbar menyeru Satu Malaysia, seluruh ibu bapa dan anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi maksiat.

Bagaimana pun mimbar amat sedih kerana terdapat segelintir umat Islam yang mengakui dirinya dan melafaz dibibir bahawa Islam adalah agama yang baik, solat itu baik, kalimah Allah adalah hak Islam tetapi secara diam-diam mengatakan dalam hati dan fikirannya bahawa maksiat itu adalah urusan individu dan mereka tiada upaya melawan kehendak nafsu demi memperkukuhkan kepentingan diri sendiri.

Mimbar mengingatkan bahawa pencemaran jiwa dan hilang kewarasan akal telah menggugat Satu Malaysia dalam usaha memerangi maksiat. Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir:

Maksudnya:Ingat! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah hati.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)

Berdasarkan hadith tadi, jelas jiwa yang tercemar telah menyesatkan dan memalingkan hati manusia menjauhi Allah SWT. Satu lagi perkara yang saling kait mengait dengan hati yang menjadi penghalang Satu Malaysia memerangi maksiat ialah hawa nafsu. Firman Allah dalam surah Saad, ayat 26:

Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Mimbar ingin mengingatkan kepada penegak-penegak maksiat dan pengamal dosa besar, jangan berseronok dengan perbuatan keji dan bergembira melihat mangsa diperlaku dengan zalim. Setiap perbuatan keji itu ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Di samping itu, mereka juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut.  Firman Allah dalam surah al-Waaqi’ah, ayat 88-89:

Maksudnya: Kesudahannya jika ia (yang mati itu) dari orang Muqarrabiin. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan.”

Mereka yang dipermudahkan dan disenangkan ketika menghadapi nazak ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas. Allah mengutus berpuluh-puluh Malaikat Rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira. Manakala bagi orang yang terlibat dengan dosa besar dan maksiat menghadapi kesukaran dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak. Firman Allah dalam surah al-Qiyamah, ayat 29:

Maksudnya: Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.”.

Orang yang yang disukarkan nazak ialah orang yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong dan jahat, serta bergelumang dengan dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakarataulmaut itu, Allah memperlihatkan kepada dirinya segala dosa yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian. Kalau dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman yang dilakukan.

Di dalam beberapa hadith disebutkan mereka juga dijerkah oleh Malaikat Maut dan diperlihatkan kepadanya azab seksa api neraka. Keperitan dan kesakitan menghadapi sakaratulmaut menyebabkan mati dalam keadaan kufur tidak sempat mengucap dua kalimah syahadah. Malah kadangkala di pertunjukkan kelakuan buruk kepada ahli-ahli yang hadir menziarahinya yang menjatuhkan nama baik dan pangkat yang diperolehi. Dengan demikian berwaspadalah dan jagalah tingkahlaku semasa kita hidup.

Keperitan sakaratulmaut tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat dibandingkan dengan kesakitan di dunia ini. Rasulullah sendiri merasakan sakitnya di waktu saat kematiannya sehingga baginda membasahi sehelai kain dengan air kemudian mengusapi diwajahnya sambil bersabda, “ Tiada Tuhan melainkan Allah. Sesungguhnya bagi setiap kematian itu ada sakaratulmaut. Ya Allah, bantulah aku dalam menghadapi sakaratulmaut”.        Walaupun Rasulullah SAW terpelihara daripada dosa, namun baginda juga meninggal dunia seperti orang lain menghadapi proses sakaratulmaut, menghadapi kesakitan apatah lagi kita manusia yang tidak dapat lari melakukan perbuatan berdosa.

Muslimin Yang Dikasihi Allah,

Mengakhiri khutbah mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita Satu Malaysia memerangi maksiat, Satu Ummah mendekatkan diri kepada Allah dengan terus kekal bertaqwa kepada Allah. Untuk menghindarkan diri kita dari kesukaran menghadapi sakaratulmaut, nazak yang perit yang tidak dapat dibayangkan kesukaran di saat kematian, marilah kita sekalian mempertebalkan keimanan kepada Allah, memperbanyakan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan maksiat.

Maksudnya: “Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Surah al-Jumu’ah:8)

BENARKAH KITA MENCINTAI RASULULLAH

Mac 10, 2010 at 10:15 PM | Dikirim dalam 1 | Tinggalkan komen

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“BENARKAH KITA MENCINTAI RASULULLAH”

(26 FEBRUARI 2010 / 12 RABIUL AWWAL 1431H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah kita berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Kita laksanakan segala perintah-Nya dan kita jauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah yang bertajuk: “Benarkah Kita Mencintai Rasulullah SAW”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari ini, 12 Rabiul Awal 1431 bersamaan 26 Februari 2010 adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita sejak kira-kira 1,421 yang lalu, tetapi dengan cinta kasih kita kepada baginda serta sunnah baginda, maka kita merasakan seolah-olah baginda masih hidup berada bersama kita. Nabi Muhammad adalah satu-satunya Rasul yang telah menyelesaikan tugas dan menyempurnakan amanah pekerjaan sewaktu hayat baginda. Baginda telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; dan Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib di ambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia  sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.

Berdasarkan ayat tadi, Allah SWT menegaskan bahawa perintah mentaati Rasulullah SAW adalah bererti mentaati Allah SWT; dan mengingkari baginda bererti juga mengingkari Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah syahadah. Kalimah ini mensyaratkan bahawa seseorang tidak boleh menganut Islam jika hanya mengaku beriman kepada Allah SWT tanpa mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ini menggambarkan satu istinbat mutlak bahawa makna mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mentaati keseluruhan ajaran baginda. Pada masa sama ia membawa kita mencintai Allah SWT. Oleh itu, beriman kepada para Rasul Allah adalah wajib dan menjadi tunjang kekuatan akidah Islam. Sesiapa yang mengingkari perintah Rasul bererti dia keluar dari lingkaran keimanan.

Selari dengan ikrar yang kita lafazkan dalam syahadah, maka menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang Jumaat dan umat Islam sekalian bahawa semua ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW hendaklah dipatuhi dan diamalkan. Jika kita mengabaikan pelaksanaan perintah-perintah Allah dan suruhan Rasul-Nya, maka Allah akan jauh daripada kita. Ini bererti iman kita mulai lemah dan kelemahan iman ini memberi ruang kepada musuh Allah dan syaitan mendekati bahkan mempengaruhi kita dalam membuat keputusan.

Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana bentuk dan pengukuran bahawa kita tergolong orang Islam yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW?. Ramai orang mengakui cinta kepada Rasulullah tetapi tidak tahu bentuk dan hakikatnya. Cinta yang jujur akan menggerakkan seluruh perasaan dan kelakuan manusia untuk membuat sesuatu sebagai cermin kehidupannya yang selari dengan ajaran Islam.

Para sahabat dalam membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah dan sunnahnya telah sanggup berkorban nyawa, rela kehilangan harta kekayaan, anak-anak, ibubapa dan status diri, demi mempertahankan perjuangan suci bersama Rasulullah. Nama-nama besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali dan ramai lagi para syuhada’ dan golongan solihin baik lelaki dan wanita telah membuktikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW.

Sidang Jumaat dan Umat Islam Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Setiap tahun umat Islam menyambut Maulidur Rasul dalam pelbagai bentuk. Kadangkala sambutan yang dibuat itu mendapat kritikan hebat kerana kualiti keberhasilan natijahnya iaitu sejauhmana sambutan ini dapat menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW.  Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah  yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam, seolah-olah baginda masih hidup walaupun hampir satu setengah alaf telah meninggalkan kita.

Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat pelbagai agama di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati. Hakikatnya sambutan Maulidur Rasul adalah suatu peringatan, suatu tazkirah yang bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah adz-Dzaariyat, ayat 55:

Maksudnya: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.”

Sirah baginda SAW ini hendaklah diulangkaji, dirujuk dan disuburkan setiap masa, supaya kekal dalam ingatan dan jiwa manusia. Sambutan yang diadakan bukan sekadar untuk bermain-main, bersenda gurau, atau mengisi masa kosong; tetapi lebih kepada mencapai suatu tugas yang perlu kita laksanakan, berbentuk amanah yang perlu kita tunaikan.

Bagaimana pun mimbar sangat  kesal jika sambutan yang diadakan setiap tahun ini, tidak di hayati sepenuhnya dengan pengisian yang tepat oleh umat Islam. Bahkan lebih menyedihkan lagi ialah pada satu masa kita mengagongkan Rasulullah SAW dan pada masa yang lain pula kita bersifat talam dua muka, bertukar rupa dengan melakukan perkara yang dilarang oleh Rasulullah.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31:

Maksudnya: “Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Imam at-Tirmizi pula meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata:

“Seseorang telah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah, saya sangat kasih kepada-Mu, Ya Rasulullah”. Jawab Nabi SAW: “Perhatikan benar-benar perkataanmu itu”. Orang itu berkata: “Demi Allah, saya cinta kepadamu, Ya Rasulullah (di ulangi sehingga tiga kali)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Jika benar kamu cinta-kasih kepadaku, maka bersiap-sedialah menghadapi kemiskinan-kesusahan, persiapkan dirimu dengan baju (benteng iman) yang kukuh (agar dapat menghadapi segala kemungkinan susahpayah), kerana kemiskinan-susahpayah itu lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta-kasih kepadaku melebihi kecepatan (air) banjir ke dalam jurang (lembah-gaung yang dalam).

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang Jumaat, umat Islam dan ibu bapa sekalian, bimbinglah ahli keluarga kita dalam mempertingkatkan kasih sayang dan mencintai Rasulullah SAW supaya generasi Islam terus subur berpegang akidah dan berpegang kuat kepada ajaran Islam. Bagi menentukan sambutan Maulidur Rasul memberi keberhasilan yang tinggi kepada  negara dan rakyat, maka terdapat lima petanda aras untuk menentukan kejayaannya iaitu:

Pertama: Pelaksanaan dengan penuh taat segala perintah Allah dan Rasulullah SAW.

Kedua: Mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan.

Ketiga: Memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian.

Keempat: Mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW; dan

Kelima: Membanyakkan ucapan selawat dan salam kepada Nabi SAW.

Maksudnya: “Dan hari Kami bangkitkan di kalangan setiap umat, seorang saksi ke atas mereka, dari mereka sendiri; dan Kami datangkanmu untuk menjadi saksi terhadap mereka ini; dan Kami turunkan kepadamu Al-Qur’an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang Islam.” (Surah an-Nahl:89)

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Seiring dengan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1431H, marilah kita tingkatkan ketaatan kita kepada Rasulullah SAW dengan mengamalkan sunnah-sunnahnya dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Kita bersyukur negara kita  memberi perhatian berat kepada kewajipan memelihara aspek halal dan baik dalam isu-isu makan minum dan kepenggunaan barangan harian yang juga merupakan salah satu tuntutan sunnatur Rasul.

Justeru, pada hari ini, negara secara rasminya telah melancarkan Kempen 1 Malaysia 1 Halal yang disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia As-Sultan Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Timbalan Yang Dipertuan Agong.

Program ini antara lain bertujuan menggalakkan masyarakat berusaha dalam membangunkan industri halal, menjadi pengguna bijak yang hanya memilih produk atau barangan halal sahaja dan mendidik masyarakat menjauhi sumber yang syubhat dan haram. Mimbar mengharapkan semua pihak dan sidang Jumaat sekalian, bersama-sama menjayakan hasrat murni ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-An’aam, ayat 142:

Maksudnya:Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahzab: 56)

Laman Berikutnya »

Create a free website or blog at WordPress.com. | The Pool Theme.
Entries dan komen feeds.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.